WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) berikrar akan bertindak terhadap insiden pengeboman di Kabul yang mengorbankan sekurang-kurangnya 103 orang dan operasi membawa keluar rakyatnya dan warga Afganistan tetap diteruskan, kata Presiden Joe Biden pada Khamis.
Jumlah tentera AS yang terkorban dalam serangan tersebut meningkat kepada 13 orang, dengan 18 lagi cedera, menurut kemas kini terbaru Bill Urban pegawai hal ehwal awam di markas tentera AS.
"Kami akan bertindak, dengan penuh kekuatan dan ketepatan, mengikut masa dan cara kami,” katanya berucap di Rumah Putih, ekoran serangan bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, lapor Xinhua.
Letupan di lapangan terbang itu disusuli satu lagi serangan di Hotel Baron berhampiran lokasi kejadian dan butiran mengenai insiden berkenaan sedang disiasat tentera AS.
The Wall Street Journal, memetik pegawai kanan kesihatan Afghanistan, melaporkan letupan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 orang awam terbunuh.
Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan sebelum ini mengesahkan lebih 60 kematian dan 140 kecederaan membabitkan rakyat Afghanistan, dan ISIS-K, sebuah gabungan radikal dari Daesh mengaku bertanggungjawab.
Biden berkata, beliau telah mengarahkan tentera AS untuk"menyerang aset, kepemimpinan dan kemudahan ISIS-K," tanpa memperincikannya.
"Pengganas Daesh ini tidak akan menang. Kami akan menyelamatkan Amerika. Kita akan mengeluarkan sekutu Afghanistan kita. Dan misi kami akan diteruskan,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan wartawan sama ada beliau akan mengerahkan pasukan tambahan ke Afghanistan selepas serangan itu, Biden berkata jika tentera memerlukan kekuatan tambahan"saya akan meluluskannya."
Presiden itu berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan wujudnya pakatan antara Taliban dan Daesh dalam mendalangi serangan itu.
Taliban turut mengeluarkan satu kenyataan yang mengecam serangan tersebut.
Serangan itu berlaku ketika AS berusaha untuk membawa keluar rakyat dan rakan sekutunya dari Afghanistan sejak Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos.
Selepas memasuki Kabul, Taliban berkata semua tentera AS harus meninggalkan Afghanistan selewat-lewatnya pada 31 Ogos, dan Biden telah mengekalkan tarikh akhir itu. - Bernama