YAN - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Agama Kedah menyalurkan bantuan kepada keluarga pelajar sekolah berkenaan yang terlibat dengan tragedi kepala air, Gunung Jerai pada minggu lalu.
Yang Dipertua PIBG, Abd Ghani Abidin berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian terbabit, pihaknya telah melancarkan derma prihatin untuk membantu Nur Syifa' Ahmad Fisal, 14 dan keluarganya.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bermurah hati menyalurkan sumbangan terbabit.
"Setidak-tidaknya sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga terbabit terutamanya dalam kerja-kerja membaik pulih kediaman mereka yang rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu, Pengetua SMK Agama Kedah, Mohd Nazri Ishak berkata, pihak sekolah menyanjung tinggi usaha pihak PIBG khasnya yang telah menganjurkan Program Ziarah Cakna dan Prihatin untuk menyampaikan sumbangan kepada Nur Syifa'.
"Pihak sekolah sentiasa cakna dengan nasib para pelajar khususnya mereka yang diuji dengan musibah ini.
"Besar harapan pihak sekolah agar pelajar ini dapat memberi fokus utama ketika mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan sempurna walaupun dalam keadaan situasi sebegini agar tidak tercicir dalam pelajaran," katanya.