Maximus akan teruskan perjuangan isu MA63

Iklan
Maximus Ongkili, Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU - Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan tanggungjawab beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) penting dalam meneruskan perjuangan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut melahirkan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri yang memberinya kesempatan untuk berkhidmat sekali lagi di dalam kabinet Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Tanggungjawab yang diberikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) adalah penting dan strategik, terutama bagi meneruskan perjuangan untuk memenuhi isu-isu berkaitan MA63 yang sering menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, yang mana mereka berharap tuntutan MA63 dapat ditunaikan.

"Terdapat banyak usaha yang telah dilakukan, terutama sekali dalam mengenal pasti isu-isu untuk diselesaikan serta pelan tindakan yang telah disusun terutamanya perkara-perkara yang memerlukan pengubalan dari segi dasar, peraturan, perundangan dan perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu, Maximus berkata, beliau sedia bekerjasama dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak untuk menjayakan segala perancangan dan pelan tindakan yang akan dikenal pasti dan dilaksanakan.

"Saya yakin melalui kabinet baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di dalam MA63 serta perkara-perkara yang berkaitan akan mendapat sokongan penuh, diketengahkan dan diselesaikan sepenuhnya, sesuai dengan harapan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya itu adalah tanggungjawab baharu itu dan bukan satu keistimewaan.

"Tanggungjawab yang baharu ini bukannya suatu keistimewaan tetapi ia adalah satu amanah yang sangat besar yang saya akan cuba tunaikan dengan sebaik yang mungkin demi kesejahteraan rakyat.

"Susulan daripada pesanan Perdana Menteri kita, keutamaan akan diberikan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, kebajikan rakyat serta kelangsungan ekonomi negara.

"Kita akan buat yang terbaik untuk Keluarga Malaysia menghadapi cabaran keadaan dunia sekarang yang luar biasa," katanya.