BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan program pemberian vaksin Covid-19 secara percuma khusus kepada golongan peniaga kecil, penjaja pasar malam serta pekerja dan pemilik restoran.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, program yang dilaksanakan melalui urusetia, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang itu akan dijalankan di lima lokasi pemberian vaksin selama empat hari bermula 30 Ogos hingga 2 September depan.
Menurutnya, bagi peniaga di Seberang Perai Utara boleh mendapatkan suntikan vaksin di Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi; Seberang Perai Tengah (Kompleks Sukan Jalan Betek); Seberang Perai Selatan (Stadium Batu Kawan); Timur Laut (Stadium Bandaraya) dan Barat Daya di Dewan Perda Teluk Kumbar.
"MBSP sebelum ini memaklumkan berkenaan kebenaran operasi pasar malam selaras dengan keputusan terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah membenarkan pasar malam beroperasi semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Selepas program pemberian vaksin selesai, MBSP akan mensyaratkan kepada semua peniaga pasar malam yang ingin meneruskan semula operasi perniagaan mereka hendaklah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin bermula 15 September 2021," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Rozali berkata, mana-mana peniaga atau penjaja yang masih belum mendapatkan janji temu diminta untuk segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan menjawab soal selidik MBSP berkaitan status vaksinasi peniaga atau penjaja di pautan berikut https://qrgo.page.link/vVy6z.
Katanya, MBSP akan membantu peniaga yang berkaitan untuk mendapatkan janji temu suntikan vaksin.
"Panggilan untuk janji temu vaksin akan dibuat melalui applikasi MySejahtera atau dihubungi melalui telefon oleh pihak urusetia berkaitan dan pihak peniaga diminta untuk sentiasa menyemak rekod MySejahtera anda.
"Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dan MBSP bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober 2021 dan memberi keyakinan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar malam berkaitan disamping mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat,"katanya.