JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah hanya 396 guru di negeri ini tidak mengambil vaksin Covid-19 atas sebab keraguan terhadap suntikan itu.
Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Jumaat, baginda bertitah baki 383 guru pula mengambil pendirian untuk ditangguhkan manakala sebilangan guru terbabit telah bersetuju mendaftar bagi mengambil vaksin.
"Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, hanya 396 daripada mereka yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap suntikan itu.
"Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
"Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin," titah baginda.
Sebelum itu, baginda telah bertemu dengan guru-guru yang belum divaksinasi di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini pada Jumaat
Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi bin Rohani ; Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman bin Rabu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Mohd Noh Ibrahim dan Timbalan Mufti Johor, Ahmad Faisal Mohamed manakala, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pertemuan dilakukan secara maya
Tunku Ismail bertitah pada perjumpaan tersebut, baginda telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di negeri ini dan situasi terkini pandemik Covid-19 di Johor.
"Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan serta kesejahteraan rakyat," titah baginda.