100 hari: MOTAC fokus bantu pemain industri

Iklan
Nancy Shukri

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Nancy Shukri yang dilantik kembali untuk menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menyifatkan cabaran 100 hari adalah tempoh penting bagi kementerian itu membantu pemain industri pelancongan meneruskan kelangsungan hidup mereka ketika situasi pandemik Covid-19 masih belum berkesudahan.

Dalam kiriman video yang disiarkan melalui rancangan Malaysia Petang Ini (MPI) terbitan Bernama TV, Nancy berkata, ia adalah tempoh untuk melaksanakan pelbagai program yang telah dirancang sebelum ini yang tergendala akibat kawalan pergerakan dan memenuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun dengan situasi vaksinasi populasi dewasa yang mencapai lebih 50 peratus, kini ada kemungkinan rancangan itu dapat dilaksanakan.

"Sebelum ini banyak permintaan mereka, tetapi kita tak dapat memberi apa yang mereka mahukan jika tanpa meminta kerjasama dengan kementerian yang lain. Jadi melalui kerjasama kabinet sebagai satu pasukan, kita akan menjayakan semua perancangan agar ia menjadi kenyataan," katanya.

Iklan

Nancy berkata, pasukannya telah mula bermesyuarat hari ini termasuk membincangkan langkah melaksanakan perancangan yang dibuat sebelum ini sambil mengakui cabaran paling berat pada ketika ini ialah memastikan aktiviti pelancongan, seni dan budaya tetap berjalan walaupun dalam situasi norma baharu.

Sementara itu Senator Ti Lian Ker yang dilantik semula Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, dengan situasi terkini negara yang menjejaskan ekonomi rakyat Malaysia termasuk golongan belia, membantu survival golongan belia menjadi antara fokus kementerian itu.

Iklan

"Harapan saya ialah menyelesaikan segera masalah ekonomi dan pekerjaan melibatkan golongan itu bagi memastikan survival mereka," katanya.

Lian Ker yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, menyemai literasi politik dalam kalangan belia menjelang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) juga akan diberi perhatian kerana sokongan belia berusia 18 tahun yang telah dibolehkan mengundi amat diperlukan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Jumaat mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Barisan kabinet ini dikehendaki bertindak pantas membebaskan Malaysia daripada pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi dengan membuktikan pencapaian awal kementerian masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama.

Barisan kabinetnya kali ini terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. -Bernama