SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu, Tan Sri Annuar Musa akan merangka hala tuju yang lebih proaktif untuk kementerian tersebut dalam usaha memastikan kemakmuran kepada seluruh ‘Keluarga Malaysia’.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau menyedari kepentingan dan peranan dimainkan oleh KKMM terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya seperti pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan keperluan pemerkasaan sektor digital.
"Insya-ALLAH, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.
"Saya berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.
"Semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ismail Sabri pada Jumaat mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, serta 38 timbalan menteri.
Pada masa sama, Annuar yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut melahirkan penghargaan atas kepercayaan diberikan Ismail Sabri kepadanya untuk menganggotai barisan kabinet baharu kerajaan Malaysia.
Katanya, kepercayaan dan amanah yang diberikan adalah satu penghormatan yang amat besar bukan sahaja buat dirinya tetapi juga UMNO dan Barisan Nasional.