SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Suasana hari mengundi di Kampung Sesapan Batu Rembau, di sini, kecoh apabila penyokong PH membawa kain rentang provokasi memaparkan gambar isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Kain rentang yang turut tertulis perkataan 'Malu Apa Bossku...???Siapa Boss?? Akulah Boss.. Ingat Najib Ke!!!’ mengundang rasa tidak puas hati penyokong BN.
Mereka mendesak kain rentang itu diturunkan namun penyokong PH tetap berkeras enggan melakukannya dan mendakwa mereka tidak melakukan kesalahan.
Menurut seorang penyokong BN, kain rentang tersebut mula dibawa ke kawasan itu kira-kira jam 10 pagi tadi.
"Bila penyokong BN nampak, mereka cuba hentikan dan minta penyokong PH tidak memasang kain rentang tersebut. Tak lama lepas itu, tercetus sedikit kekecohan.
"Mujur tak lama ia berlaku namun agak tegang juga keadaan masa itu,” katanya ketika ditemui berhampiran Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau.
Kira-kira jam 11.30 pagi, beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba ke kawasan berkenaan dan berbincang dengan penyokong PH.
Begitupun, salah seorang daripada mereka menegaskan tidak akan menurunkan kain rentang itu dan mendakwa ia bukan bahan kempen serta tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Menurut wakil SPR, kain rentang itu menyalahi peraturan kerana tidak memaparkan logo parti atau nama syarikat percetakan.
Meskipun penjelasan telah dibuat, penyokong tersebut masih enggan menurunkan kain rentang itu.
"Selagi tiada penjelasan konkrit, kami tak akan turunkan,” tegasnya.
Difahamkan, SPR tidak mengarahkan mereka untuk menurunkannya atas faktor keselamatan.
Sementara itu, kira-kira jam 12.50 tengah hari, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengoyakkan kain rentang tersebut di hadapan penyokong PH.
Tindakan beliau menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PH namun tiada sebarang pergaduhan atau kejadian tidak diingini berlaku.