TAN SRI Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2021/2025, sekali gus kekal menerajui badan itu bagi penggal kedua selepas pencalonan sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu ditutup pada Rabu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang merupakan muka baharu, turut menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden apabila menjadi calon tunggal bagi kerusi tersebut.
Ketua Panel Pemilihan Bebas MOM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengesahkan dua jawatan lagi - Penolong Setiausaha Agung dan Bendahari juga dimenangi tanpa bertanding oleh penyandangnya Moira Tan dan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin.
Bagaimanapun, tumpuan pemilihan pada 4 September ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan Setiausaha Agung yang disandang oleh Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib.
Beliau akan dicabar oleh Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF), Melvin Chia dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia, Megat Fairuz Khairuddin.
Sementara itu, lapan calon akan bertanding merebut lima kerusi naib presiden termasuk penyandang sekarang Datuk Mumtaz Jaffar, Profesor Datuk Dr. S. Shamala dan Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim.
Undian akan dilakukan secara dalam talian iaitu pertama kali dalam sejarah MOM berikutan pandemik Covid-19, dengan 36 ahli gabungan (ahli biasa) layak mengundi jawatan yang dipertandingkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu.
"Kita menerima 31 pencalonan daripada 34 persatuan sukan kebangsaan tetapi pencalonan dari judo diklasifikasikan batal dan tidak sah kerana dihantar tanpa pengetahuan calon. Kita juga telah melakukan pemeriksaan latar belakang, termasuk dengan polis ke atas semua calon yang layak.
"Kita akan menjalankan undian percubaan secara dalam talian dengan 34 NSA (Persatuan Sukan Kebangsaan) pada 2 Sept ini bagi membiasakan mereka dengan sistem pengundian elektronik sebelum pengundian sebenar,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pencalonan di Wisma MOM pada Jumaat.
Senarai Penuh Pencalonan: Penggal 2021/2025
Presiden: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden: Datuk Hamidin Mohd Amin (menang tanpa bertanding)
Naib Presiden (Lima Kekosongan)
1.Datuk Mumtaz Jaffar (penyandang)
2. Prof. Datuk Dr. S. Shamala (penyandang)
3.Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim (penyandang)
4. Datuk Chong Kim Fatt
5. Datuk Shahrul Zaman Yahya
6. Datuk Megat Zulkairnain Omardin
7. Nik Razeen Adam Daud
8. Datuk Nur Azmi Ahmad
Setiausaha Agung
1.Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib (penyandang)
2. Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi
3. Melvin Chia
4.Megat Fairuz Khairuddin
Penolong Setiausaha Agung:
Lelaki: Chan Foong Keong, Syed Zainal Abidin Syed Zin
Wanita: Moira Tan (menang tanpa bertanding)
6. Bendahari: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin (menang tanpa bertanding)
7. Penolong Bendahari: Datuk Amarjit Singh Gill; Datuk Mohd Nasir Ali. - Bernama