SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin menyifatkan barisan kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan pada Jumaat tidak ada kejutan.
Ini kerana katanya, sebanyak 85 peratus muka lama dalam barisan kabinet sebelumnya dilantik semula menjadi menteri dan timbalan menteri.
"Jadi, tidak hairanlah kenapa orang melabelkan sebagai kabinet kitar semula ataupun kabinet Perikatan Nasional 2.0,” katanya ketika menjadi panelis dalam ‘Forum Online: Analisis Kerajaan Baharu, Apa Harapan Rakyat?’ yang disiarkan menerusi Facebook Ikram Malaysia dan Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden Ikatan Inteligensia Membangun Malaysia, Datuk Nizam Mahshar manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Badlishah menambah, jangkaan terhadap barisan kabinet yang diumumkan oleh Ismail Sabri juga tidak tinggi berdasarkan kepada komposisi anggotanya yang masih sama.
"Sepertimana Datuk Seri Ismail Sabri sendiri sebut ini untuk penerusan. Kalau kita lihat apa yang sedang berlaku sekarang ini pun masalah pandemik, masalah ekonomi dan sebagainya masih lagi belum dapat diatasi dengan baik.
"Oleh itu, tidak keterlaluan saya sebut jangkaan masyarakat atau rakyat secara keseluruhannya pada kabinet baharu ini bukan tinggi,” jelasnya.
Badlishah bagaimanapun berkata, kelainan yang dibawa oleh Ismail Sabri adalah mengadakan pertemuan dengan ketua dan pemimpin parti pembangkang serta mengeluarkan kenyataan bersama.
"Saya ingat tidak pernah berlaku sebelum ini pertemuan antara Perdana Menteri dan pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama.
"Rata-rata saya tengok masyarakat madani memberikan sambutan yang baik terhadap usaha ini.
"Rakyat tak nak politik yang terlampau sebab rakyat semakin susah dan menderita. Dengan keadaan Covid-19, ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya.
Menurutnya, apa yang dimahukan oleh rakyat ketika ini adalah tumpuan bagi membendung krisis yang sedang melanda negara pada masa ini.
"Perlu ada kesepakatan dan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk memberi fokus kepada perkara ini. Selesaikan masalah ini. Bawa solusi-solusi yang konkrit untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Sistem nilai parah punca masalah rasuah
ARTIKEL BERKAITAN:Budaya politik rakyat perlu berubah