Semangat Keluarga Malaysia dalam komuniti sukan

Iklan
Ahmad Shapawi

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu dalam senarai kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya akan memberikan sokongan penuh kepada Ahmad Faizal bagi memastikan kemajuan sukan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Datuk Seri (Ahmad Faizal) bukanlah asing dalam arena sukan negara apatah lagi pernah mengemudi kejayaan negeri Perak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 pada tahun 2018 yang lalu.

"Pelantikan Datuk Seri sudah tentu akan membawa semangat Keluarga Malaysia ke dalam komuniti sukan negara selari dengan pendekatan kita bahawa sukan adalah hak milik Keluarga Malaysia keseluruhannya," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Ahmad Faizal diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertukar portfolio sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang sebelum ini turut pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Iklan

Perdana Menteri turut mengumumkan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu bagi menggantikan Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pelantikan Ahmad Faizal akan meneruskan legasi Reezal Merican terutama dalam menyediakan rangka persiapan ke Olimpik Paris 2024.

"Bagi pihak MOM dan komuniti sukan, kami mengucapkan selamat datang kepada Datuk Seri Ahmad Faizal sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Selain persiapan untuk Paris 2024, perancangan untuk tahun 2022 juga diperlukan kerana banyak kejohanan besar.

"Saya juga mengharapkan sokongan kepada skim pencen untuk atlet yang sedang saya perjuangkan selain bedah siasat Temasya Tokyo 2020 sekali gus memastikan kesinambungan program pembangunan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut menyambut baik dan mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

"Semoga kehadiran Datuk Seri dalam keluarga sukan negara akan sama-sama dapat membantu untuk memperkasa dan meningkatkan lagi tahap industri sukan di Malaysia termasuk membantu FAM dalam memartabatkan bola sepak negara," katanya.