SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berpendapat masalah rasuah di negara ini berpunca daripada sistem nilai yang kini telah parah.
Menurutnya, sistem nilai yang parah ini menyebabkan berlakunya kejadian seperti mengambil atau menerima rasuah.
"Kalau sistem nilai itu kuat, ketika ditawar itu, dia (individu) boleh menolak ketika diminta.
"Ketika diminta (rasuah) dia boleh kata tak nak bagi kalau sistem nilai itu kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam ‘Forum Online: Analisis Kerajaan Baharu, Apa Harapan Rakyat?’ yang disiarkan menerusi Facebook Ikram Malaysia dan Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panel Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Presiden Ikatan Inteligensia Membangun Malaysia, Datuk Nizam Mahshar manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Hussamuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai akar permasalahan pergolakan politik semenjak beberapa tahun ini adalah daripada masalah rasuah.
Tambahnya, negara ini perlu kembali kepada sistem nilai dan untuk ‘mencabut’ sesuatu telah berakar umbi yang telah parah perlukan sesuatu kekuatan luar biasa.
"Perlu ada sebuah kebangkitan.
Kebangkitan rakyat untuk menolak sistem nilai (yang telah parah),” katanya.
Hussamuddin turut menyarankan agar sistem nilai yang telah parah ini agar ditinggalkan kerana tidak dapat dibaiki lagi.
"Kita kena sasarkan lima hingga 10 tahun lagi yang sekarang belajar di universiti atau kanak-kanak berada di tadika yang ada di tangan kita kena ubah.
"Kita kena betul-betul tanamkan kepadanya sistem operasi berasaskan nilai-nilai yang ada pada agama masing-masing kerana negara kita berbilang kaum dan agama,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Kabinet tiada kejutan, rakyat tak menaruh harapan tinggi
ARTIKEL BERKAITAN:Budaya politik rakyat perlu berubah