PUTRAJAYA - Mahir menyembur minyak tanah dari mulut ke arah nyalaan api kecil sehingga menghasilkan bulatan api besar, Staf Sarjan Mad Zain Medol diberi kepercayaan mempersembahkan aksi kemahiran yang dimilikinya sejak usia remaja pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021) di Dataran Pahlawan Negara di sini pada 31 Ogos ini.
Terkenal dengan jolokan 'fire dragon’, anak kelahiran Sabah berusia 38 tahun itu mengetuai Pasukan Pancaragam Kor Armor Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi acara drum line ATM akan menampilkan aksi yang menjadi faktor 'wow' pada HKHM 2021 itu.
HKHM 2021 bertemakan Malaysia Prihatin akan disiarkan secara maya pada 31 Ogos selain boleh ditonton di stesen televisyen tempatan, Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Berkongsi mengenai cabaran membuat persembahan semburan api, Mad Zain mengakui kemahiran yang dimiliki itu menuntut keberanian memandangkan semburan minyak tanah ke arah api boleh menyebabkan kecederaan pada anggota badan.
"Walaupun pernah tercedera, namun kecederaan itu saya anggap perkara biasa dan tidak melunturkan minat saya,” katanya ketika ditemui Bernama semasa raptai HKHM 2021.
Menurut Mad Zain, beliau memiliki kemahiran tersebut sebelum menyertai ATM dan apabila diterima masuk berkhidmat pada 2003, ia menjadi platform kepadanya untuk mengasah dan menonjolkan bakat.
Bapa kepada tiga anak itu bukan sahaja menjadi hero kebanggaan anak-anaknya malah kemahiran serta keberanian yang dimiliki turut dikagumi rakan sepasukan yang berminat mempelajari teknik semburan api daripada beliau.
"Dalam ATM pula ada sediakan pelbagai kursus. Jadi saya ambil peluang untuk mengikuti kursus berkaitan selain berkongsi ilmu yang saya dapat dengan rakan sepasukan yang lain,” katanya.
Mengenai persembahan pancaragam gabungan drum line ATM yang diserikan dengan elemen semburan api itu, Mad Zain berkata, persembahan berdurasi selama enam minit itu disertai 128 anggota daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau yang dipertanggungjawabkan sebagai Drum Major (komander lapangan) selain mengetuai perbarisan tongkat bermuzik dan persembahan semburan api berkata mereka telah mengadakan latihan kira-kira sebulan untuk memastikan kesempurnaan dalam persembahan.
Menurutnya, gabungan drum line ATM akan memainkan beberapa lagu patriotik dan akan turut menampilkan seni taekwando tempur tanpa senjata.
Sementara itu, Pegawai Waran II Angkatan Tentera Laut Azumu Zainal, 40, yang merupakan seorang daripada anggota pancaragam gabungan badan beruniform pelbagai agensi berkata walaupun peranan sebagai pembaling tongkat sering kali dimainkan, aspek latihan tetap menjadi keutamaan.
"Latihan ini perlu sebab masa persembahan kita mahu elakkan tongkat terjatuh akibat gagal disambut. Pernah juga tongkat yang dibaling terjatuh di atas kepala, leher dan dada sehingga cedera. Maka kita mahu elak perkara seumpama itu ketika persembahan,” katanya sambil menunjukkan kesan cedera pada bahagian lehernya.
Pembaca Ikrar Rukun Negara, Penguasa Kanan Bomba II Siti Farizun Naim, 33, berkata, beliau merupakan seorang daripada lapan petugas barisan hadapan yang akan membaca ikrar tersebut bagi mewakili seluruh pasukan beruniform yang berkhidmat tanpa kenal erti penat lelah ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
"Ini kali pertama saya sertai Hari Kebangsaan dalam era pandemik Covid-19 yang mana aspek latihan sangat berbeza kerana kami semua perlu utamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ini pengalaman baharu bagi saya,” katanya. - Bernama