JITRA - Tempoh sembilan bulan adalah terlalu singkat untuk rakyat menilai prestasi kerajaan baharu di bawah PH berikutan ia adalah tempoh bagi parti itu membuat '(pembersihan) terhadap peninggalan kerajaan terdahulu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata walaupun tempoh tersebut singkat, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan keperluan dan kepentingan rakyat dijaga termasuk mengambil alih konsesi dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.
"Tempoh sembilan bulan ini macam mengandung...baru kira nak bersalin. Kita mula dengan kertas putih atau kain putih tapi masuk dengan keadaan berselerak habis kita nak kena buat 'housekeeping' dan itu ambil masa.
"Sekarang kita sudah dan sedang buat perubahan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sangat mengambil berat terhadap semua janji dalam manifesto dan jawatankuasa khas untuk tengok pelaksanaan ini juga telah ditubuhkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah Bantuan Amal dan Transformasi (JEBAT) dan gotong-royong di Kampung Pantai Halban bersama lebih 30 anggota JEBAT.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kenyataan badan penyelidik bebas Ilham Centre semalam bahawa BN boleh mengalahkan PH pada PRK DUN Semenyih, Amiruddin berharap pengundi dapat membuat keputusan yang tepat.
"Bila turun padang, kita tengok respons baik kita (PH) tidak ditolak, tak ada yang tak nak jumpa, tak nak salam dan perkara itu tidak berlaku seperti di PRK Cameron Highlands sebelum ini, jadi kaji selidik itu belum tentu lagi betul.
"Kita sentiasa tegas mengikut peraturan pilihan raya dekat mana juga PRK dan tidak bagi janji itu ini kepada rakyat. Contohnya, ada menteri yang telah luluskan sesuatu tapi sedar kalau ia diteruskan orang akan cakap itu rasuah sebab nak PRK dan sebab itu dia tarik balik," katanya.
Menurutnya, pengundi di Semenyih diharap dapat menilai dan memberi mandat kepada PH untuk terus menerajui kawasan itu dan ia akan memberi lebih banyak kebaikan kerana kerajaan yang memerintah negara juga adalah PH.
Pengundian bagi PRK Semenyih yang bermula 8 pagi ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM)) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. - Bernama