RAM Ratings kekalkan unjuran KDNK 2021 Malaysia pada 3.8 peratus

Iklan

RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan unjuran 2021 untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 3.8 peratus.

Dalam laporan Kemas Kini Ekonomi 2021 terkininya, agensi penarafan kredit itu, bagaimanapun berkata, peningkatan kadar vaksinasi di negara ini dijangka memudahkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi pada suku keempat, memberikan rangsangan yang baik kepada pertumbuhan.

Iklan
Iklan

"Bagi 2022, kami menyenaraikan unjuran pertumbuhan antara 7.0 dan 8.0 peratus.

"Walaupun ini sebahagian besarnya dibantu oleh kesan asas yang rendah, pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi dan penggunaan kapasiti ganti dalam negeri secara berperingkat akan meningkatkan pertumbuhan asas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, pemulihan permintaan global yang berterusan, terutamanya permintaan yang berlebihan untuk semikonduktor, akan turut meningkatkan prestasi Malaysia pada tahun depan.

RAM Ratings berkata, pengeluaran secara keseluruhan pada 2022 dijangka pulih melebihi paras yang dilihat pada 2019, dianggarkan kira-kira 4.8-5.8 peratus lebih tinggi.

Iklan

"Keadaan ekonomi, bagaimanapun, dijangka tidak normal sepenuhnya sehingga selepas 2022, berikutan impak terhadap ekonomi telah menyebabkan jurang pengeluaran yang negatif dalam jangka pendek.

"Kami menganggarkan ekonomi, secara agregat, akan beroperasi 5.0 peratus di bawah potensi pengeluarannya pada 2022,” katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata, kadar vaksinasi kekal sebagai pemacu utama pemulihan domestik, begitu juga pemulihan ekonomi global yang berterusan.

"Eksport masih menyerlah dalam ekonomi Malaysia, dan kami mengunjurkan peningkatan semula yang kukuh (2021: 11.1 peratus; 2022: 4.6 peratus) berikutan kitaran super semikonduktor,” katanya. -Bernama