Jangan pertikai kabinet baharu, fokus selesai Covid-19

Iklan
SHAHANIM MOHAMAD YUSOFF

SUNGAI PETANI - Semua pemimpin politik disaran memberi sokongan terhadap kerajaan sekarang ini tanpa perlu mempertikaikan senarai barisan kabinet baharu yang telahpun mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, saranan itu supaya tumpuan terhadap usaha menyelesaikan pandemik Covid-19 di negara ini dapat dilakukan.

Iklan
Iklan

"Penting untuk memberikan sokongan dan dokongan kepada kabinet 'Keluarga Malaysia' ini dan melaksanakan gencatan politik buat sementara waktu. Pada ketika ini nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah yang paling utama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, kerajaan yang baharu ditubuhkan itu adalah gabungan pelbagai fraksi serta parti politik dan sekiranya sebarang perubahan drastik dilakukan, sudah pasti mengakibatkan rakyat menjadi mangsa.

Iklan

"Walaupun ada segelintir melahirkan rasa kurang senang atas pengumuman ahli kabinet, namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengambil kira semua faktor khususnya melibatkan kepentingan rakyat.

"Dalam keadaan pandemik dan kesukaran ekonomi, perubahan besar anggota kabinet dan portfolio akan merencatkan kelicinan jentera kerajaan buat sementara waktu kerana seseorang menteri baharu akan mengambil masa berbulan-bulan untuk mengenali dan memahami perjalanan kementerian tersebut sedangkan kita mengharapkan keputusan segera untuk memastikan angka jangkitan dapat diturunkan dengan kadar cepat," katanya.

Iklan

Pada masa sama beliau berharap barisan kabinet 'Keluarga Malaysia' itu dapat menunjukkan prestasi maksimum dalam menjaga kebajikan rakyat di negara ini.

"Disebabkan masih ramai rakyat terjejas, saya mengharapkan kerajaan khususnya mereka yang baharu dilantik ini mempertimbangkan untuk memberikan bantuan tambahan wang tunai dan bakul makanan serta mempertimbangkan penambahan pengeluaran Kumpuan Wang Simpanan Pekerja.

"UMNO Sungai Petani turut mengharapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat digerakkan secara maksimun bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera," katanya.