Pelantikan Idris dalam kabinet selari dasar perjuangan Pas

Iklan
Takiyuddin

KOTA BHARU - Tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diberikan kepada Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dalam kabinet baharu adalah tepat dan selari dengan dasar perjuangan Pas.

Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan pelantikan itu Pas sedia menggunakan pengalaman ketika mentadbir Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam memperkasa syariat Islam di negara ini.

Iklan
Iklan

"Kami amat mengalu-alukan pelantikan ini dan Pas sedia memberikan khidmat serta memikul tanggungjawab sebaik mungkin," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-64.

Takiyuddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima semasa melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-64 di Kota Bharu pada Sabtu.

Iklan

Kata Takiyuddin, Pas optimis memainkan peranan penting dalam menggerakkan kementerian tersebut sekali gus untuk memperkasakan Islam di Malaysia.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Idris sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Iklan

Anak jati Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Perak berusia 58 tahun itu diberi mandat untuk menggantikan Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tambah Takiyuddin, secara dasarnya Pas berpuas hati dengan agihan kerusi untuk kuota menteri penuh yang diberikan kepada parti tersebut.

Katanya, Pas mahu memberikan komitmen sebaik mungkin dalam menjayakan proses pemulihan negara akibat serangan pandemik Covid-19 ketika ini.

Dalam pembentukan kabinet baharu pada Jumaat, Takiyuddin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik semula sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

Lima lagi Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai timbalan menteri iaitu Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan; Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Turut dilantik Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).