BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan biarpun dia kini sah beraksi untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, namun dia akan tetap mengabadikan segala memori indah bersama beks kelabnya, Juventus.
Menurut Ronaldo, terlalu banyak kenangan indah yang diciptanya ketika beraksi bersama gergasi Serie A itu selama tiga musim lalu.
"Saya berikan segala jiwa raga saya untuk Juventus dan akan sentiasa mengingati kelab ini sehingga ke hari-hari terakhir saya di Turin.
"Penyokong Juventus juga sentiasa menghormati saya dan saya sentiasa cuba membalas rasa hormat berkenaan dengan memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan yang diharungi.
"Di Juventus, saya telah mencapai banyak perkara yang hebat. Oleh itu, saya akan sentiasa menjadi salah seorang daripada anda semua (penyokong); Italy, Juventus, Turin, Tifosi Bianconeri anda semua sentiasa di hati saya,” katanya.
Untuk rekod, selama tiga musim bersama Juventus, Ronaldo telah menjaringkan 101 gol menerusi 134 penampilan selain membantu skuad The Old Lady itu untuk menjulang trofi Serie A dan trofi Coppa Italia, musim lalu.
Ronaldo dijangka bakal beraksi ketika United berdepan Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, pada Ahad.
Sementara itu Ronaldo berkata, di sebalik trofi yang dimenangi bersama Juventus, dia agak terkilan kerana gagal membantu skuad berkenaan untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara.
"Sepanjang beraksi dengan Juventus, saya telah membantu mereka memenangi trofi Serie A dan Coppa Italia.
"Namun, saya tidak dapat membantu mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara. Saya hanya sempat membantu sehingga ke suku akhir,” katanya.