KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 yang mengakibatkan sekolah terpaksa ditutup dalam jangka masa panjang menyebabkan rata-rata pemandu vas dan bas sekolah hilang pendapatan.
Menyedari situasi getir itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Sri Sinar dan Pejabat Ahli Parlimen, menyampaikan bakul makanan kepada 60 pemandu van dan bas sekolah di Lembah Klang pada Sabtu.
"Hampir tiga bulan sekolah ditutup menyebabkan pemandu van dan bas sekolah tiada pendapatan.
"Saya harap Lembah Klang dapat beralih ke fasa baharu secepat mungkin supaya orang ramai boleh bekerja dan mempunyai keupayaan mencari rezeki," katanya pada siaran langsung di Facebooknya pada Sabtu.
Menurut Hannah, program sama telah diadakan sebanyak dua kali dengan harapan bantuan seumpamanya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung para penerima.
Mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada 17 Julai lalu menjelaskan, pihaknya telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September.
Ketetapan tersebut terpakai di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.