KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun pada Sabtu.
Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.
Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
Kenyataan itu turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.
Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).
Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Paralimpik Tokyo: Malaysia raih pingat emas pertama