Angkasa percaya menteri baharu MEDAC dapat perkasa sektor koperasi

Iklan
Abdul Fattah

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) percaya melalui pengalaman dan idea baharu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar akan dapat memperkasa keusahawanan koperasi.

Ini seterusnya mencapai matlamat untuk meningkatkan taraf hidup anggota dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat di negara ini melalui platform koperasi, kata Presiden, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Iklan
Iklan

"Pelantikan Noh umpama sirih pulang ke ganggang kerana beliau pernah memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2008 hingga 2009. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd pada 23 Jun 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Angkasa turut mengucapkan selamat datang kepada Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya dalam usaha memperkasa gerakan koperasi ke peringkat yang lebih tinggi.

Iklan

Abdul Fattah berkata, momentum positif sektor koperasi harus dipertingkatkan supaya hasrat kerajaan melihat industri berkenaan menyumbang RM60 Bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dapat dicapai.

"Angkasa sentiasa memberi kerjasama penuh dengan MEDAC dan agensinya bagi melihat semula tugas dan peranan yang perlu dilaksana untuk memastikan agenda pembangunan gerakan koperasi bergerak selari dengan strategi serta hasrat kerajaan khususnya dalam membantu mengukuhkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19," tambahnya. -Bernama

Iklan