Kompaun langgar SOP cecah RM4.5 juta: KPDNHEP

Iklan
Anggota KPDNHEP berpakaian preman memeriksa pengunjung di sebuah restoran.

SHAH ALAM - Lebih RM4.5 juta kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dicatatkan sejak Mei tahun lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, sejak 13 Mei 2020 hingga 26 Ogos sejumlah 746,645 premis telah diperiksa dan 859 kompaun dikenakan.

Iklan
Iklan

"20 kompaun adalah di bawah Ops Samar yang baharu digerakkan sejak Ahad dengan kekuatan 2,200 anggota berpakaian preman di seluruh negara berikutan pembukaan semula 22 sub-sektor ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, terdapat pelbagai kesalahan dicatatkan menerusi operasi yang dijalankan dan nilai keseluruhan kompaun pelanggaran SOP Covid-19 mencecah RM 4,561,500.

Iklan

"Antara kesalahan tidak mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah seperti peniaga gagal pamer had kemasukan pelanggan serta individu gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi Mysejahtera,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun berdasarkan statistik, kadar pematuhan masyarakat terhadap SOP adalah memuaskan.

Iklan

"Kompaun dikenakan adalah sebagai peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur digariskan tersebut.

"98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan manakala 0.08 peratus premis sahaja dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.06 peratus premis diberi nasihat serta amaran," katanya.