TAMPIN - Penduduk di Kampung Batang Rokan, Gemencheh di sini kecewa apabila Sungai Air Salak di kampung tersebut tercemar akibat air kumbahan dari ladang ternakan ayam berhampiran.
Penduduk, Roslan Mohd Akhir, 54, berkata, rumahnya terletak kira-kira 500 meter dari sungai tersebut.
Menurutnya, dia menyedari sungai berkenaan tercemar beberapa hari lalu apabila terhidu bau busuk.
"Keadaan itu menyebabkan urusan harian saya terganggu, malah baunya semakin kuat terutamanya ketika cuaca panas," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Seorang lagi penduduk, Kamaruddin Abu Samah, 66, berkata, sejak dua tahun lalu dia menggunakan air sungai itu untuk menyiram sayur-sayuran di kebunnya yang terletak bersebelahan sungai tersebut.
"Sekarang sungai sudah tercemar, baunya juga menjijiknya. Malah terpaksa pula menghidunya setiap hari berikutan rumah saya sekitar 200 meter dari sungai berkenaan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batang Rokan, Malek Samsudin berkata, keadaan itu menyusahkan semua pihak kerana baru-baru ini penduduk turut berdepan dengan masalah lalat.
"Masalah lalat baru sahaja selesai dalam dua minggu lepas juga melibatkan ladang penternakan ayam berhampiran.
"Sekarang timbul pula isu pencemaran sungai di sepanjang lebih kurang dua kilometer di sini.
"Justeru saya berharap tindakan tegas dapat diambil pihak berwajib susulan kebanyakan penduduk menggunakan air sungai ini untuk kegunaan projek tanaman sayur mereka.
"Penduduk di sini tidak mahu perkara sama berulang kerana ladang ternakan ayam dekat sini rata-ratanya sudah beroperasi lebih 10 tahun. Sewajarnya mereka mengetahui peraturan dan undang-undang berkaitan penternakan ini," katanya.
Dalam pada itu, aduan tersebut turut mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Abd Latif A Tambi yang meninjau lokasi tersebut pada Sabtu.
Abd Latif berkata, aduan yang dibangkitkan itu sudah berada dalam perhatian Exco Kerajaan Negeri Sembilan terlibat.
"Pemantauan secara kerap perlu dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap semua ladang ternakan ayam di Gemencheh melibatkan sekurang-kurangnya 21 ladang yang berlesen," katanya.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan sedang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.