'Pingat emas untuk negara sempena Hari Kebangsaan ke-64'

Iklan
Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72kg pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto Bernama

PEMENANG pingat emas pertama negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Bonnie Bunyau Gustin ‘menghadiahkan’ kejayaannya itu kepada negara sempena Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos ini.

Menurut atlet berusia 22 tahun itu, kejayaannya memenangi pingat emas berkenaan ternyata sungguh bermakna kerana ia berlaku dalam satu temasya sukan terbesar di dunia seperti Paralimpik.

Iklan
Iklan

Justeru, atlet kelahiran Sarawak itu berkata, dia mahu berkongsi kemenangan berkenaan dengan seluruh rakyat di negara ini.

"Bagi saya pingat ini memang sangat penting buat saya. First time (saya) ke Paralimpik dan buat persembahan terbaik.

Iklan

"Selain itu bagi saya, kemenangan di Paralimpik ini memang banyak berbeza berbanding kemenangan saya sebelum ini; saya rasa gementar takut pun ada dan saya ada telefon keluarga semalam (kelmarin) dan minta mereka doakan saya.

"Apa pun, ini adalah kenangan manis bagi saya dan saya juga hadiahkan (kemenangan) kepada hari kebangsaan kita. Selamat Hari Merdeka!” katanya pada sidang media dalam talian pada Sabtu.

Iklan

Untuk rekod, Bonnie meraih emas bagi acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) apabila berjaya melakukan angkatan 228 kg pada angkatan ketiga yang sekali gus turut memadamkan rekod sebelum itu, 225 kg.

Angkatan berkenaan sekali gus menyaksikan Bonnie mencatatkan rekod baharu Sukan Paralimpik selain menjadikannya selaku pemenang emas pertama bagi acara powerlifting di Tokyo.

Bonnie bagaimanapun gagal memecahkan rekod dunia iaitu angkatan 230 kg yang dicatatkannya pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lalu, apabila gagal pada angkatan keempatnya bagi angkatan 231 kg.

Kejayaan Bonnie itu juga dilihat telah menepati ramalan sebagai salah seorang atlet yang diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selain dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta pemain badminton para, Cheah Leik Hou dan atlet memanah, S Suresh.

Sementara itu Bonnie berharap agar kejayaannya itu akan membakar semangat rakan-rakan atlet para negara yang lain untuk meraih lebih banyak pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Bagi saya pingat ini akan berikan semangat kepada mereka untuk memenangi pingat di Paralimpik kali ini.

"Bagi saya, banyak lagi benda yang saya nak kejar iaitu pingat lain pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris kelak,” katanya.