Kejayaan Bonnie bakar semangat kontinjen negara di Tokyo

Iklan
Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan kedua seberat 225 kilogram (kg) bagi kategori 72 kg pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum hari ini. -Foto Bernama

PENCAPAIAN membanggakan jaguh powerlifting paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diharap menjadi sebuah permulaan kepada episod gemilang kontinjen negara di temasya berprestij itu.

Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejayaan manis dilakar badang kerdil kelahiran Serian, Sarawak itu mampu membakar semangat barisan atlet negara yang akan turun beraksi bagi meraih pencapaian serupa.

Iklan
Iklan

Katanya, semangat dijelmakan Bonnie, 22, pada aksi di Tokyo International Forum juga boleh dicontohi atlet negara untuk sekurang-kurangnya mengharumkan nama Malaysia melalui semangat kesukanan yang dipamerkan ketika beraksi.

"Kita masih ada beberapa lagi acara dan diharap kejayaan Bonnie akan menjadi pembakar semangat kepada atlet lain untuk terus memburu pingat emas atau sekurang-kurangnya mengharumkan nama Malaysia dengan bertanding penuh semangat.

Iklan

"Membawa nama Malaysia dalam apa jua cara, tidak semestinya dengan membawa pulang pingat tetapi dengan budaya kita yang baik, dengan usaha bersungguh-sungguh dan disiplin yang akan menunjukkan kepada orang ramai tentang nilai Keluarga Malaysia," katanya dalam sidang media secara maya pada Sabtu.

Bonnie merangkul pingat emas dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) dengan angkatan seberat 228 kg menewaskan atlet dari Mesir Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

Iklan

Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada edisi Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Ahmad Faizal menyifatkan kejayaan itu sesuatu yang amat besar bukan sahaja kepada Bonnie, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sesuatu perkara yang amat membanggakan. Kita perlu yakin akan kebolehan diri dan hari ini Bonnie telah buktikan anak muda dari Sarawak pergi ke Tokyo berjaya menjadi manusia yang terhebat mengangkat berat sehingga memecahkan rekod Paralimpik," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui kejayaan itu juga merupakan hadiah bermakna buat negara dan rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-64, Selasa ini. -Bernama