SUNGAI PETANI - Semangat cintakan negara yang tinggi mendorong penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Harmoni Paya Nahu 2 sanggup berhabis duit untuk menghias rumah mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Harmoni Paya Nahu 2, Sabri Man berkata, kebanyakan penduduk tidak lokek membuat kutipan sehingga mencecah ratusan ringgit bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan melalui kempen kibarkan Jalur Gemilang.
Menurutnya, keseluruhan penduduk dari 22 blok di kawasan itu terdiri dari berbilang bangsa menunjukkan kesungguhan termasuk mengecat dinding, menyediakan pakaian beragam kanak-kanak serta menghias kenderaan seperti motosikal dan basikal.
"Tujuan kempen ini ialah menanam semangat cintakan negara dan menjunjung tinggi lambang kemegahan iaitu Jalur Gemilang,"katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Menurut Sabri, aktiviti keceriaan dilaksanakan secara gotong-royong dalam usaha memupuk semangat kerjasama dan muhibah di kalangan penduduk.
"Hadiah disediakan namun di luar pengetahuan penduduk, nak mereka tunjukkan semangat kemerdekaan bukan kerana mahukan hadiah sebaliknya lahir dari hati yang ikhlas sebagai warganegara Malaysia," katanya.
Beliau menjelaskan, kempen anjuran bersama Persatuan Penduduk PPR Harmoni Paya Nahu 2, Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Sungai Petani, Kawasan Rukun Tetanga PPR Harmoni dan Sekretariat Muafakat Komuniti itu bermula 1 Ogos sehingga 16 September depan.
Beliau berharap, jalinan kemesraan dan hubungan erat antara satu sama lain mampu memulihkan semula nama Paya Nahu ke arah lebih baik.
"Sebelum ini mentaliti penduduk dan pandangan orang luar terhadap perumahan kami seolah-olah tidak berkesudahan, namun kini masalah sosial berkurangan, jenayah dikawal malah jika ada penularan Covid-19 membabitkan penduduk yang dikenakan perintah kuarantin, kami akan pantau agar tidak menjangkiti orang lain.
"Dengan ini, kesihatan penduduk terjamin sekali gus memutuskan penularan wabak. Melalui pelbagai aktiviti dijalankan, kami harap pandangan terhadap Paya Nahu bertukar berdasarkan tahap kebersihan, keceriaan dan keharmonian dicapai sehingga kini yang membanggakan," katanya.