JDT sambar tiket automatik ACL 2022

Iklan
Barisan pemain JDT meraikan kejayaan menjuarai saingan Liga Super musim ini. - Foto Facebook Johor Southern Tigers

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan sekali lagi membuat penampilan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim depan.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, juara Liga Super musim ini secara automatik akan memperoleh tiket ke bertanding ke pentas berprestij Asia itu.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, dua slot automatik untuk beraksi dalam kempen Piala AFC 2022 pula akan diberikan kepada juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

"Liga-M masih mendapat slot 1+2 (ACL dan Piala AFC) daripada AFC dan ini jelas merupakan satu perkara positif kepada liga tempatan kita untuk beraksi dalam pertandingan yang cukup kompetitif melibatkan pasukan-pasukan dari Asia dan Asia Tenggara.

Iklan

"Seperti biasa, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperolehi slot ke Piala AFC secara automatik.

"Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19 telah banyak merencatkan perancangan MFL di mana tahun ini merupakan tahun kedua penganjuran Piala FA terpaksa dibatalkan, MFL telah memutuskan bahawa juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memberitahu, slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2021.

"Jika pemenang Piala Malaysia adalah pasukan yang telah menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021,” ujarnya.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi dalam ACL 2021 sekali lagi menempah tiket ke kejohanan kelab elit Asia itu tahun depan selepas mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini.

Dua tiket ke Piala AFC 2022 masih terbuka untuk direbut pasukan lain di mana Kedah Darul Aman (KDA) FC memperoleh slot automatik ke kejohanan itu tahun ini atas kapasiti sebagai naib juara Liga Super 2020.

Baki satu slot diberikan kepada Terengganu FC (TFC) yang menduduki tempat ketiga Liga Super 2020 selepas penganjuran Piala Malaysia terpaksa dibatalkan ekoran keputusan kerajaan ketika itu tidak membenarkan kejohanan berlangsung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).