GOL tunggal Kpah Sherman berjaya membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super 2021 apabila mengatasi Perak FC 1-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Tuan rumah yang memburu kemenangan di laman sendiri berjaya berada di hadapan 1-0 pada minit ke-20 hasil tandukan Kpah yang menerima hantaran menarik daripada Tchetche Kipre.
Selang dua minit kemudian Kpah dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Perak FC, Muhammad Azri Ab Ghani.
Kedah yang dikendali Aidil Sharin Sahak berpeluang menambah gol kedua menerusi ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar namun sepakan penalti hanya singgah di tiang sahaja.
Pelawat yang terdesak memburu kemenangan sejak empat perlawanan lalu kembali mengatur permainan dengan mengasak kubu tuan rumah namun gandingan Renan Alves, Mohd Loqman Hakim Marzuki, Rizal Ghazali dan K Anumanthan berjaya mematahkan serangan tersebut.
Pada separuh masa kedua bermula, Perak FC mengatur serangan menerusi Nana Poku dan ketua pasukannya, Sergio Aguero namun masih gagal menemui gol yang dicari mereka.
KDA FC kemudiannya memasukkan tenaga baru iaitu Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan Faizat Ghazli mengantikan Rabih Ataya dan Syazwan Zainon pada minit ke-60 untuk memburu lebih jaringan.
Penolong Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil membuat pertukaran memasukkan Mohd Aizat Safuan Razali mengantikan Adib Abdul Ra'op untuk memperkukuhkan bahagian tengah pasukan tersebut pada minit ke-64.
Pertahanan Kedah, Rizal hampir berjaya memecahkan kebuntuan pasukan tersebut menerusi jaringannya pada minit ke-66 namun gol tersebut tidak diiktiraf pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali kerana berada di dalam kedudukan off-said.
Perak FC terus memberi nafas baharu dalam pasukannya apabila memasukkan Farid Khazali menggantikan Syahir Bashah dalam usaha untuk memburu gol penyamaan pada minit ke-71.
Pada minit ke-73, tuan rumah membawa masuk dua lagi pemain iaitu Fairuz Zakaria dan Amirul Hisham Awang Kechik menggantikan Baddrol dan Ariff Farhan Md Isa selepas menyedari kubu mereka diasak bertubi-tubi.
Mohd Shahril seterusnya memasukkan Azhar Mohd Apandi, Firdaus Saiyadi dan Zulkifli Zakaria mengantikan Nana Poku, Rafiuddin Roddin dan Izzuddin Roslan untuk memperkuatkan jentera serangan Perak FC mereka pada minit ke-83.
Sedar bahagian tengah KDA FC kurang berfungsi, Aidil Shahrin memasukkan pemain terakhirnya, Fadzrul Danel Nidzam menggantikan Anumanthan pada minit ke-86 untuk menyerap tekanan yang dilakukan oleh pelawat.
Bagaimanapun keputusan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat dan Perak FC terus kekal dengan lima kekalahan berturut-turut.