PUTRAJAYA - Sejumlah 322,000 pesawah di seluruh negara telah dibekalkan dengan baja urea dan sebatian bagi musim penanaman pertama 2018/2019, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pembekalan itu dilaksanakan setelah mendapat kelulusan khas daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Iklan
Iklan
"MOA amat prihatin atas keperluan pesawah dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada pesawah seperti baja campuran dan baja urea bagi tujuan penanaman padi,” katanya.
Berhubung pembekalan baja tambahan NPK (nitrogen, fosferus, kalium (potasium), kementerian itu menegaskan pihaknya masih meneruskan usaha mendapatkan kelulusan MOF untuk memperoleh baja tersebut yang dianggarkan berjumlah 26,000 tan metrik bagi musim penanaman pertama 2018/2019.
Justeru, MOA berkata pihaknya telah menyusun keutamaan program dengan mengesyorkan kepada MOF supaya kelulusan diberikan untuk menggunakan peruntukan sedia ada kementerian bagi tujuan memperoleh baja tambahan NPK ini.
Dalam pada itu, proses permohonan pindah peruntukan dan pelanjutan kontrak input pertanian padi tahun ini sedang dalam pertimbangan MOF dan pembekalan dijangka akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan