SIK - Demi semangat yang membara untuk menyambut Hari Kemerdekaan, seorang penoreh getah memasang 64 Jalur Gemilang di sekitar Kampung Lubuk Tualang di sini secara sendirian.
Mohamad Wahab, 35, berkata, walaupun terpaksa melakukan kerja itu tanpa bantuan sesiapa, dia tetap bersemangat memacak tiang bendera di kiri dan kanan jalan masuk ke kampungnya itu.
Dia mengambil masa selama tiga hari untuk memacak 64 batang buluh sempena sambutan kemerdekaan yang memasuki tahun ke-64.
"Alhamdulillah, saya turut dibantu oleh seorang jiran yang sama-sama mencari buluh untuk dijadikan tiang bendera," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurutnya, semua bendera tersebut adalah pemberian daripada seorang rakan yang bekerja di ibu negara pada tahun lalu.
"Syukur, walaupun tidak mampu membeli bendera, namun masih ada insan yang sudi menyumbang untuk memeriahkan sambutan yang cukup bersejarah ini," katanya.
Mohamad, juruhebah di laman sosial Facebook yang terkenal dengan gelaran Mad Sik DJ menjelaskan, kebiasaannya tempoh kibaran Jalur Gemilang itu mengambil masa selama sebulan iaitu sehingga pertengahan September depan.
"Semua bendera itu kemudiannya akan disimpan semula dengan cermat bagi kegunaan pada tahun berikutnya.
"Walaupun saya generasi muda, namun darah kepahlawanan yang mengalir dalam diri tetap membara bagi membuktikan jiwa anak merdeka," katanya.