CYBERJAYA - Kerajaan Selangor tidak mewajibkan pemaju hartanah menyediakan rumah mesra OKU bagi projek perumahan yang dijalankan di Selangor, sebaliknya menggalakkan kemudahan itu dibina.
Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberikan komitmen itu melalui penyediaan empat unit di bawah projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Selangor Cyber Valley.
"Kita akan cuba laksanakan di anak syarikat kerajaan negeri supaya dapat memenuhi keperluan golongan yang memerlukan. Tetapi, untuk projek-projek pemaju swasta ia belum boleh disyaratkan wajib namun kita galakkan jika ada yang mengikut konsep ini.
"Saya yakin kemudahan ini ada permintaan dan memberikan imej yang baik kepada pemaju perumahan itu sendiri," katanya selepas merasmikan Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley, di sini.
Turut hadir, Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek.
Menurutnya, beliau bercadang untuk menambah bilangan unit mesra OKU itu di Selangor melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri secara berperingkat.
Sementara itu, sebanyak 864 unit termasuk empat unit rumah OKU disediakan untuk projek pangsapuri di Seksyen 6 berkenaan yang bermula dengan harga RM232, 000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi.
"Lebih 100 pemohon membuat pendaftaran pembelian unit sejak dibuka hari ini dan dijangka siap penghujung 2020 sebelum penyerahan kunci awal tahun 2021.
AKAN MENYUSUL