KUBANG PASU – Kira-kira 20 penduduk Kampung Nongka, Napoh di sini bekerjasama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghias persekitaran kampung mereka dengan Jalur Gemilang.
Penyelaras program, Ahmad Azrul Azibun Din, 39 berkata, mereka mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3,000 hasil sumbangan penduduk kampung untuk membeli bendera dan lain-lain keperluan.
Katanya, mereka menggunakan sebanyak 600 helai bendera yang dipasang sekitar kampung termasuk di pintu gerbang yang terdapat di kampung berkenaan.
"Selain itu, hasil idea beberapa orang penduduk, kami turut mencipta replika wau bulan menggunakan buluh dan Jalur Gemilang berukuran 2.74 meter x 3.04 meter.
"Wau bulan ini disiapkan dalam tempoh tujuh hari sahaja memandangkan kami mendapat kerjasama yang baik daripada semua lapisan masyarakat," katanya.
Menurutnya, menghayati erti kemerdekaan bukan hanya sekadar retorik pengkisahan sejarah semata-mata tetapi perlu menghayati erti sebenar kemerdekaan terutama menaikkan semangat patriotik dalam diri masing-masing.
"Walaupun kita berhadapan dengan pandemik tetapi semangat kemerdekaan tidak seharusnya luntur, kita tetap boleh meraikannya walau dalam norma baharu," katanya.
Ahmad Azrul menambah, kerja-kerja menghias kawasan kampung masih berjalan terutamanya untuk memasang tambahan bendera di rumah penduduk kampung.
"Selalunya aktiviti menghias ini kami lakukan pada waktu lapang iaitu dari petang sehingga malam," katanya.