BUKAN mudah bagi seseorang individu normal menerima hakikat sekiranya kehidupan berubah sekelip mata, menjadi golongan orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun, situasi itu tidak memberi kesan mendalam terhadap pemain tenis kerusi roda kebangsaan, Abu Samah Borhan.
Selepas tulang belakangnya patah akibat kemalangan jalan raya pada 2006, Abu Samah sebaliknya melihat sisi hidupnya sebagai sebahagian daripada golongan OKU dari sudut positif.
Beliau yang bersyukur diberi peluang kedua untuk meneruskan hidup, walaupun dengan keadaan fizikalnya yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda, menyifatkan perubahan dialaminya seolah-olah satu rahmat dalam kehidupannya.
"Jika diikutkan penerimaan terhadap apa yang berlaku kepada diri saya tidaklah terlalu negatif, kerana ketika kejadian saya tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap mana-mana pihak kecuali keluarga.
"Hanya keluarga yang amat terkesan melihat saya terlantar dan sukar untuk menguruskan diri selama enam bulan pertama, namun selepas keadaan bertambah baik, saya mula menyelami kehidupan baharu dengan menyertai persatuan OKU, di mana mereka banyak beri motivasi kepada saya. Alhamdulillah, ALLAH SWT buka peluang dan jalan lain kepada saya,” katanya kepada Bernama.
Sejak dari itu atlet berusia 36 tahun berkata, kehidupan sebagai OKU sudah menjadi normal baginya selain gembira menerima banyak tunjuk ajar daripada individu lain yang mengalami nasib serupa sepertinya untuk terus menikmati kehidupan.
Pemain kelahiran Perak yang aktif bersukan sejak di bangku sekolah itu berkata, tidak pernah terlintas langsung dalam fikirannya untuk menjadi pemain tenis kerusi roda sehinggalah isterinya Norisah Bahrom, mendorongnya untuk cuba menyertai sukan itu.
"Ketika sekolah dahulu saya hanya melihat rakan-rakan bermain tenis, saya pula lebih tumpu kepada sukan hoki dan olahraga, sehingga menjadi wakil sekolah dan daerah.
"Namun selepas kemalangan, barulah saya diperkenalkan dengan sukan tenis kerusi roda, saya mula dari kosong dan ramai bantu saya, nampak peningkatan berlaku dari segi permainan sehinggalah dapat mewakili negara,” tambahnya.
Katanya, beliau juga seronok berjumpa dengan pemain lain dari serata dunia dan membina jaringan persahabatan bersama mereka setiap kali membawa cabaran negara dalam kejohanan antarabangsa sejak mula bermain sukan itu pada 2008.
Mengenai prestasi keseluruhannya di Tokyo, Abu Samah yang tersingkir di pusingan kedua pada Sabtu ke atas pemain kelapan dunia dari Belanda, Tom Egberink berkata, beliau telah banyak menimba pengalaman keduanya beraksi di pentas Paralimpik selepas Rio 2016.
Katanya, kekalahan itu akan menyuntik motivasi untuk memperbaiki prestasi, terutama bagi menyajikan aksi yang lebih baik sekiranya layak beraksi di Paris 2024.
Aksi pertama pemain ke-44 dunia di Ariake Tennis Park, di sini menyaksikan beliau menampilkan prestasi terpuji apabila bangkit daripada ketinggalan kepada pemain Costa Rica, Jose Pablo Gil dalam set pertama, 4-6, untuk mengecewakan lawannya, 6-3, 6-2 dalam dua set berikutnya.
Abu Samah setidak-tidaknya memperbaiki prestasi apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua di Jepun, selepas ditunjuk jalan keluar pada pusingan pertama di Rio 2016, Brazil kepada pemain Great Britain Alfie Hewett dengan keputusan 0-6, 1-6. - Bernama