PETALING JAYA - Pas dinasihatkan untuk berterus terang berhubung isu Sarawak Report dan dana RM90 juta tidak lagi berbohong kerana setiap hari pembohongan yang dicipta itu semakin terdedah.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegur pemimpin Pas untuk mengamalkan nilai dan prinsip Islam supaya tidak berbohong.
"Isu dana RM90 juta semakin hari semakin terdedah. Saya fikir moral pengajaran peristiwa ini, setiap pembohongan akan terbongkar akhirnya, kita berbohong sekali, kita berbohong kali kedua untuk menutup pembohongan pertama..kita bohong kali ketiga untuk untuk pembohongan kedua dan pertama kemudian kita bohong kali keempat untuk tutup bohong ketiga kedua dan pertama..dan itu yang berlaku sebenarnya.
"Ia sebenarnya lebih mudah kalau Pas ambil pendekatan berterus terang sahaja apakah penyelesaian luar mahkamah itu dibuat dengan membabitkan bayaran-bayaran tertentu..bayaran tak semestinya daripada poket atau akaun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Bayaran boleh sahaja dalam bentuk individu yang diutuskan untuk"broked the deal”(membatalkan rundingan).
"Kini kelihatan fakta yang terdedah sekarang menjurus ke arah itu..saya biarkan pada rakyat untuk membuat penilaian dan prinsipnya yang kita pelajari dan nilai Islam adalah kita tidak boleh berbohong, itu pengajarannya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis peluncuran pameran sulung lukisan-lukisan Badariah Abdul Hamid, di sini, hari ini.
Semalam, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Clare menjelaskan ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan Presiden Pas itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal tersebut, iaitu peguam Malaysia, Americk Sidhu.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR menyerahkan kepada warganet untuk menilai dakwaan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan iaitu akaun bank dan cek tersebut palsu.
Kata beliau, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga akauntan bertauliah telah mengesahkan akaun tersebut wujud dan mengenal pasti nama pemegang akaun itu.
"Rafizi cuba memasukkan RM10 ke dalam akaun itu, ternyata berjaya. Jadi isu sama ada akaun itu palsu atau tidak telah terjawab. Clare juga mengesahkan menerima bayaran itu. Peguamnya juga mengesahkan transaksi itu telah berlaku dengan sempurna.
"Kalau Clare sudah dapat duit, peguam dia pun mengesahkan transaksi berjaya, mana wujudnya akaun itu palsu, yang dakwa akaun itu palsu Nasrudin dan yang mengesahkan adalah Rafizi akauntan bertauliah, Clare dan peguamnya sendiri,” katanya.
Netizen di media sosial Facebook mempersendakan video Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mendedahkan cek pembayaran saman Pas kepada Clare selain membandingkan tarikh dan nombor cek tersebut adalah berbeza.