Belum terlambat lantik Azalina sebagai Speaker

Iklan
Azalina sahkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu.

SHAH ALAM - Masih belum terlambat bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada Datuk Seri Azalina Othman Said, dengan melantiknya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, reformasi sistem demokrasi mesti bermula dari Parlimen dan tidak salah sekiranya Ismail Sabri mengangkat bekas Timbalan Speaker itu.

Iklan
Iklan

Malah katanya, reformasi itu perlu dilakukan segera dan mesti dilakukan untuk sesi bulan depan.

"Parlimen yang kita lihat sekarang memerlukan banyak pembaharuan untuk menuju ke satu tahap baharu bagi meletakkan Parlimen kita ke kelas dunia.

Iklan

"Apa yang kita lihat hanyalah perbahasan di Dewan utamanya, walhal bagi pembuat undang-undang, sepatutnya lebih banyak kerja-kerja di peringkat lebih kecil tetapi mendalam misalnya kerja-kerja di pelbagai peringkat Jawatankuasa Parlimen atas sesuatu hal.

"Perlunya ada pendengaran awam terhadap sesuatu dasar yang memerlukan pemurnian yang lebih halus. Semuanya ini memerlukan seorang ketua Parlimen yang dinamik, seorang demokrat dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Iklan

Ahmad Shabery menjelaskan, demokrasi memerlukan pendidikan yang menyeluruh dan perlu melahirkan lebih ramai demokrat.

Jelasnya, ia mesti dibudayakan dalam semua segi dan bukan soal menang atau kalah pilihan raya semata-mata.

"Parlimen bukan hanya punca kuasa untuk terus mencari kuasa. Ia adalah sekolah untuk mengajar erti kebertanggungjawaban di atas amanah yang diterima.

"Speaker bukannya hanya duduk di kerusi Speaker tetapi ia adalah satu pekerjaan dan tanggungjawab untuk membawa perubahan untuk Malaysia tercinta,” ujarnya.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu, bagi memberi peluang kepada pihak pemerintah dan pembangkang untuk ‘menetapkan semula’ Dewan Rakyat yang bakal diadakan September ini.

Kerajaan sebelum ini berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

ARTIKEL BERKAITAN: Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat