KUALA NERANG - Dua beradik yang sebelum ini ketinggalan bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana tinggal di dangau di sebuah dusun dekat sini kini kembali belajar secara dalam talian.
Muhammad Rafiq Rahman, 11, dan Muhammad Raziq Rahman, 7 bersama seorang lagi adiknya kini tinggal di rumah sewa baharu mereka di Kampuang Baru Padang Sanai sejak 18 Ogos lalu.
Rahman Ismail, 37 berkata, kedua-dua anaknya itu kini bersemangat mengikut pembelajaran secara dalam talian selepas mereka ketinggalan sejak tiga bulan lalu.
Dia berkata, anak anak bongsunya, Nur Raisya Rahman, 5 turut menunjukkan reaksi gembira kerana tidak perlu lagi tinggal di dangau berkenaan.
"Syukur kepada semua pihak kerana banyak meringankan sedikit beban kami sekeluarga terutamanya melibatkan masa depan dan juga pelajaran anak-anak kami.
"Banyak bantuan yang diterima dan saya juga sudah dapat kerja sambilan dengan membina rumah kayu yang diupah oleh penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Rahman berkata, terbaharu mereka menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara 1, Zamzuri Bakar di rumah sewanya di Kampung Baru Padang Sanai, dekat sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rahman berkata, dia sekeluarga amat bersyukur kerana rumah sewa yang didiaminya kini dibiayai oleh insan yang berhati mulia sekali gus meringankan bebannya yang masih belum mendapat pekerjaan tetap selepas hilang pekerjaan.
"Saya kini sedang sedang mencari pekerjaan tetap bagi menampung kehidupan kami sekeluarga selepas ini," katanya.
Sementara itu, Zamzuri berkata, sumbangan Econsave Prihatian yang bernilai RM1,000 adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban Rahman selepas dia hilang pekerjaan sebagai pemotong kayu getah dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya berharap bantuan berupa kelengkapan rumah dan juga keperluan dapur itu dapat memberikan sedikit keselesaan kepada keluarga tersebut yang baharu sahaja berpindah ke rumah sewa baharu.
Pada 18 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan lima beranak yang sebelum ini terpaksa mendiami sebuah dangau di dalam dusun di Kuala Nerang sejak tiga bulan lalu berpindah ke sebuah rumah sewa pada petang Rabu hasil bantuan Pengarah Urusan DK Speed Auto Garage, Rizduan Daud.
ARTIKEL BERKAITAN: Pondok dalam dusun jadi tempat tinggal lima beranak