GEORGETOWN - Seluruh rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang diminta agar memperjuangkan pengertian tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu 'Malaysia Prihatin'.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengertian itu wajar diperjuangkan oleh semua rakyat terutamanya dalam usaha memerangi serta memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 demi kelangsungan diri sendiri; keluarga; komuniti, negeri dan negara.
Menurutnya, dalam konteks Pulau Pinang, kerajaan negeri akan sentiasa bersama rakyat dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi tonggak terutamanya dalam merangka pelan tindakan yang merangkumi aspek kesihatan; keselamatan; kebajikan, ekonomi dan kelangsungan hidup seluruh rakyat di negeri ini.
"Kami mendengar setiap keluhan dan rintihan semua rakyat di negeri ini serta akan berusaha sedaya-upaya untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengharungi detik-detik sukar ini," katanya dalam perutusan Hari Merdeka pada Ahad.
Beliau berkata, sejak penularan pandemik Covid-19 yang diisytiharkan pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM175 juta melalui lima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi membantu rakyat yang terkesan termasuk bantuan kepada lain-lain sektor berkaitan.
"Selain itu, pada 11 Ogos lalu, kerajaan negeri bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri utama serta golongan profesional berkolaborasi membentuk Gabungan PgCare atau PgCare Alliance.
"Ia bertujuan memberi sokongan serta bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini. Melalui gabungan ini, penyaluran bantuan dapat dipercepatkan dan lebih tertumpu mengikut empat teras perkhidmatan utama iaitu kesihatan mental; pekerjaan, makanan dan keperluan asas serta rundingan kewangan," katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, memahami dan menyelami nilai sebuah kemerdekaan adalah penting walaupun kita masih mengharungi cabaran krisis kesihatan paling dahsyat ketika ini.
"Walaupun berdepan dengan cabaran, ia bukanlah penghalang yang boleh memudarkan semangat cintakan negara dalam diri, sebaliknya dalam konteks kenegaraan, nilai-nilai kemerdekaan dan patriotisme harus dihayati dengan terapan normal baharu.
"Tempoh 64 tahun berlalu, kemerdekaan yang dilaungkan telah membuka lembaran baharu buat tanah air tercinta. Kemajuan dan kejayaan yang ditempa merupakan nikmat kemerdekaan yang dikecapi oleh kita semua di bawah satu bendera serta identiti sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Justeru, Kon Yeow meminta semua pihak memainkan peranan untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam mengawal penularan wabak Covid-19.
"Proses vaksinasi merupakan harapan untuk kita kembali mengawal perebakan wabak Covid-19. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab selain mengelakkan diri daripada menjadi ejen perebakan dalam kalangan ahli keluarga atau komuniti di sekeliling kita.
"Saya percaya bahawa setiap dos vaksin itu sangat penting. Oleh itu, teruslah menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menjadi penerima vaksin sekali gus membolehkan negeri kita beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.