PORT DICKSON - Seorang juruwang disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Port Dickson selepas dipercayai terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Sutera Lama pada pagi Ahad.
Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 9.50 pagi daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson.
"Mangsa seorang wanita berusia 36 tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh di dalam bilik air.
"Menurut rakan serumahnya, pada jam lebih kurang 9 pagi selepas bangun tidur seperti biasa, mangsa masuk ke bilik air, setelah hampir setengah jam, mangsa didapati tidak keluar dari bilik air walaupun telah dipanggil berkali-kali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, rakannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson untuk mendapatkan bantuan. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah.
"Mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan susulan di Hospital Port Dickson namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.
Aidi Sham berkata, mangsa bekerja di sebuah pasar raya di daerah ini sejak tiga tahun lalu dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak perempuan berumur 10 tahun.
"Mangsa kini tinggal di rumah berkenaan bersama rakan sekerjanya manakala suami dan anaknya tinggal berasingan di sebuah taman lain.
"Bedah siasat akan dilakukan pada Isnin selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19," ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.