Sabah FC rehatkan sementara Kurniawan

Iklan
Kurniawan Dwi Yulianto. - Foto Sabah FC

SABAH FC mengambil keputusan drastik merehatkan sementara ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkuatkuasa pada Ahad sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak selepas prestasi hambar dipamerkan The Rhinos dalam aksi Liga Super sejak kebelakangan ini.

Pengurus The Rhinos, Marzuki Nasir berkata, Penolong Jurulatih, Burhan Ajui akan menggalas tugas buat sementara waktu manakala Jelius Ating dilantik sebagai Penolong Pengurus Sabah FC yang baharu dalam tempoh itu.

Iklan
Iklan

"Kita yakin pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama-sama pasukan bola sepak Sabah sejak 2017.

"Ini sudah tentu akan dapat membantu skuad Badak dalam mengharungi baki perlawanan sekaligus terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Marzuki berkata, pihak pengurusan Sabah sangat kecewa dengan prestasi hambar The Rhinos selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.

"Setakat ini semua kebajikan pemain serta pegawai pasukan sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan Sabah FC,” katanya.

Iklan

Sabah FC berharap agar semua pihak khususnya penyokong sentiasa memberikan sokongan padu serta kepercayaan kepada pasukan sekaligus mengembalikan prestasi cemerlang mereka dalam tempoh terdekat.

Anak buah Kurniawan sebelum ini meneruskan aksi longlai baki saingan Liga Super apabila dibelasah kelab tercorot liga UiTM FC pada aksi di Stadium UiTM pada malam Sabtu.

Kekalahan The Rhinos kepada The Lions tersebut menyaksikan Sabah kini hanya mengumpul 19 mata selepas mengharungi 20 perlawanan liga dengan kemenangan terakhir dilakar adalah ketika menewaskan Melaka United 3-1 di Stadium Likas pada awal Mei lalu.