KEM powerlifting negara sekali lagi bakal mencuri tumpuan apabila seorang lagi wakilnya, Jong Yee Khie akan turun beraksi dalam acara lelaki 107 kilogram (kg) pagi esok di Sukan Paralimpik Tokyo.
Atlet angkat berat nombor dua dunia itu pastinya diharap mampu mengikut jejak langkah rakan sepasukannya, Bonnie Bunyau Gustin, yang mencipta sejarah menyumbang emas pertama buat kontinjen negara di temasya berprestij itu, semalam.
Jika pendandan rambut dari Batu Kawa, Kuching itu mampu mengekalkan prestasi dilakar ketika merangkul perak pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas, maka tidak mustahil beliau boleh membuat kejutan meraih kedudukan podium kali ini.
Sukan Paralimpik Tokyo bakal menjadi medan pertarungan keduanya untuk menebus kekecewaan lalu selepas sekadar menduduki tempat ketujuh bagi kategori 97kg ketika membuat kemunculan pertamanya di Rio 2016.
Jurulatih kebangsaan, Jamil Adam, percaya kejayaan manis dilakar Bonnie mampu membakar semangat Yee Khie bagi membuktikan kehebatannya di Tokyo International Forum dalam acara yang bermula pukul 11 pagi (10 pagi waktu Malaysia).
Selain merangkul emas, Bonnie yang membuat kontinjen negara tersenyum gembira pada hari keempat temasya itu berlangsung, turut memecah rekod Paralimpik selepas mengangkat bebanan seberat 228kg, bagi memadam rekod terdahulu angkatan 227kg yang dicipta Rasool Mohsin dari Iraq semasa di Rio 2016.
Dalam pada itu, wakil tunggal boccia negara, Chew Wei Lun jelas menarik perhatian pada hari kelima Sukan Paralimpik Tokyo dengan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) peringkat kelayakan Kumpulan B.
Wei Lun yang ketika ini mendahului Kumpulan B selepas tiga perlawanan, berada dalam prestasi terbaiknya apabila mengejutkan pemain nombor dua dunia dari Thailand Witsanu Huadpradit menerusi kemenangan ‘tie-break’, 1-0, selepas terikat 3-3 dalam saingan yang berlangsung di Pusat Ariake Gimnastik pagi tadi.
Pemain ranking ke-11 dunia itu kemudian bangkit daripada ketinggalan 0-3 sebelum mencatat kemenangan 9-3 ke atas wakil Korea Selatan, Sungjoon Jung pada sesi sebelah petang.
Beliau akan melengkapkan kempen kelayakan kumpulan apabila dijadual berentap dengan atlet Republik Czech, Katerina Curinova, esok.
Di Pusat Akuatik Tokyo, sekali lagi nasib tidak menyebelahi perenang kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli selepas dibatalkan penyertaannya buat kali kedua dalam saringan pertama acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).
Pembatalan itu menyaksikan Nur Syaiful tidak berjaya mara ke peringkat akhir walaupun menamatkan renangan di tempat ketiga.
Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengesahkan bahawa perenang berusia 26 tahun itu dibatalkan penyertaannya berikutan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.
"Kepala Nur Syaiful didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal sewaktu membuat kuakan” katanya.
Rabu lalu, Nur Syaiful turut mengalami nasib serupa apabila penyertaannya dalam saringan pertama acara 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dibatalkan gara-gara isu teknikal, selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya bagi mengurangkan kesakitan dialami sejak seminggu lepas. - Bernama