Fokus naik taraf infrastruktur eko-pelancongan: Nancy

Iklan
Nancy Shukri

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memberi fokus kepada usaha menaik taraf infrastruktur kawasan eko-pelancongan, sebagai persediaan menerima pelancong apabila aktiviti pelancongan dibenarkan nanti, kata Datuk Seri Nancy Shukry.

"Jadi apabila pelancong sudah boleh datang ke tempat berkenaan (selepas ini) kawasan itu sudah dinaik taraf,” kata Nancy yang dijadual kembali mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada Isnin ketika diwawancara secara dalam talian malam Ahad.

Iklan
Iklan

Mengenai lantikan ramai muka lama dalam kabinet baharu kerajaan, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, ia merupakan satu strategi dalam memastikan anggota Jemaah Menteri dapat fokus dengan tugasan masing-masing bagi mencapai hasil yang ditetapkan dalam masa 100 hari.

Beliau turut optimis anggota kabinet dapat mencapai sasaran pencapaian 100 hari seperti ditetapkan perdana menteri kerana sebahagian besar daripada mereka berpengalaman bertugas dalam tempoh pandemik Covid-19.

Iklan

Mengulas mengenai lantikan 16 menteri dan timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak yang didakwa segelintir pihak adalah tidak mencukupi jika dilihat berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Nancy berkata, secara peribadi beliau melihat perkara itu sebagai satu keadaan yang ‘menggalakkan’, untuk pemimpin dari kedua-dua negeri itu terus menyumbang kepada negara.

"Banyak perkara (berhubung MA63) perlu dibincang bersama dan perundingan perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Sebab itu Jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu penting,” katanya.

Iklan

Ditanya mengenai lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak yang dicadangkan pihak tertentu, Nancy berkata, lantikan yang dibuat secara mengejut akan mengakibatkan salah satu negeri rasa tidak dibawa berunding.

Beliau berkata, adalah lebih baik sedikit masa diambil untuk perundingan dilakukan dengan kedua-dua negeri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. - Bernama