Angkasa pacu sosioekonomi negara

Iklan
Bangunan Angkasa yang terletak di Kelana Jaya,Selangor. (Gambar kecil: Abdul Fattah)

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gerakan koperasi merupakan instrumen penting dalam mendepani keadaan semasa pandemik Covid-19 yang mencabar dan memberi implikasi besar terhadap taraf ekonomi sebahagian besar rakyat Malaysia.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penubuhan koperasi merupakan wadah ekonomi yang memberi peluang kepada golongan terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan untuk bangkit semula bersama-sama menggembleng modal, kemahiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman untuk memulakan perniagaan dan menjalankan aktiviti ekonomi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mekanisme pengukuhan semula sosiekonomi perlu diambil berat gerakan koperasi sebagai platform mandiri yang ternyata berkesan dalam memperbaiki taraf kehidupan rakyat mendepani pelbagai krisis tahun demi tahun.

"Jika dilihat hanya sedikit perbezaan jumlah perolehan disumbangkan oleh gerakan koperasi pada tahun 2020 iaitu RM41.5 bilion berbanding RM45.8 bilion pada tahun 2019.

Iklan

"Angkasa sebagai badan induk yang mewakili 14,629 koperasi di seluruh negara fokus kepada transformasi dan pembangunan gerakan ini sepanjang 50 tahun dalam pelbagai sektor keberhasilan utama bagi menjamin kemajuan gerakan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Fattah berkata, momentum yang ada harus dipertingkatkan supaya hasrat kerajaan melihat gerakan itu menyumbang RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 dapat dicapai.

Iklan

"Justeru, bagi merealisasikan perkara ini Angkasa telah membangunkan Pelan Strategik Angkasa 2050 (PESAN50).

"Pembangunan PESAN50 ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025, Dasar-dasar Utama Malaysia dan Luar Negara serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

Beliau berkata, anjakan pelan tindakan bagi pelaksanaan PESAN50 telah dibahagi kepada tiga tahap jangka masa iaitu Pelan Jangka Pendek (2017-2020), Pelan Jangka Sederhana (2021-2030) dan Pelan Jangka Panjang (2031-2050).

"Angkasa kini telah melangkah ke Anjakan Pelan Tindakan bagi Pelan Jangka Sederhana 2021-2030 dengan bertemakan ‘Koperasi Menjadi Pilihan Utama Perniagaan’,” katanya.

Abdul Fattah berkata, PESAN50 penting untuk digerakkan bagi memastikan segala usaha bagi menjadikan koperasi sebagai jentera pemacu sosiekonomi dapat berjalan selari dengan hala tuju, matlamat dan rancangan yang dibawa oleh kerajaan supaya pengagihan ekonomi adalah adil dan saksama untuk semua.

"Menghampiri usia 100 tahun menjelang 2022, gerakan koperasi kekal memainkan peranan memacu sosioekonomi negara dan membantu golongan B40 di bandar dan luar bandar dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

"Sokongan kerajaan secara berterusan menerusi dasar dan polisi yang sentiasa ditambah baik dari masa ke masa memberi jaminan kepada kelangsungan ekonomi sektor koperasi,” katanya.

Beliau berkata, Angkasa yakin ‘semangat kebersamaan’ yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung beliau tidak asing lagi dengan prinsip dan nilai koperasi yang dibudayakan oleh 6.5 juta anggota koperasi di Malaysia dan 1 bilion anggota koperasi di seluruh dunia.

Abdul Fattah berkata, Ismail Sabri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pernah memegang jawatan menteri yang menjaga hal ehwal gerakan koperasi pada satu ketika dahulu.

"Angkasa sebagai badan induk yang mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa memberi keyakinan penuh terhadap kedua-dua pemimpin ini dan sepenuh komitmen dalam menjadikan gerakan koperasi sebagai salah satu platform berkesan menjayakan agenda pembangunan negara," katanya.

Abdul Fattah berkata, Angkasa juga akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan gerakan koperasi serta komited untuk meneraju dan melaksana inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 bagi memastikan koperasi mempunyai keterlibatan yang tinggi dalam arus ekonomi melalui pelbagai inisiatif di peringkat nasional mahupun di persada global.

"Angkasa juga akan memperkukuh jalinan kerjasama dengan pemegang taruh di pelbagai peringkat supaya gerakan ini kekal berdaya maju, sentiasa berinovasi dan mengadaptasi teknologi digital selari dengan peredaran masa bagi menjadi platform penyelesaian keperluan sosioekonomi ‘Keluarga Malaysia’," katanya.