Kemerdekaan satu nilai kebebasan

Iklan

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh bersejarah bagi seluruh rakyat negara Malaysia kerana pada detik tersebut negara kita mencapai kemerdekaan.

Kemerdekaan adalah satu rahmat besar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Iklan
Iklan

Rahmat ini diturunkan bukan hanya untuk orang Islam atau Melayu, bahkan dapat juga dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, malah juga kesemua makhluk yang ada di atas muka bumi.

Kemerdekaan dari satu sudut boleh difahami sebagai bebas dari perhambaan, keterikatan, lepas dari dikenakan tuntutan, tidak bergantung nasib kepada orang, bangsa atau negara lain.

Iklan

Merdeka juga bermakna bebas daripada belenggu kelemahan peribadi dan keruntuhan moral, penyakit dan kemiskinan yang menghalang manusia dari mencapai darjat kemanusiaannya sejati.

Dalam konteks negara, kemerdekaan bermaksud terlepas daripada penjajahan politik, ketenteraan, ekonomi, budaya, informasi dan sebagainya.

Iklan

Pada tahun ini, negara Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 bertemakan Malaysia Prihatin.

Saban tahun sambutan Hari Kemerdekaan disambut dengan meriah, namun sejak negara dilanda pandemik Covid-19, sambutan kemerdekaan tidak dapat diadakan seperti kebiasaannya bermula tahun lepas.

Tahun ini, sambutan rasmi akan diadakan secara sederhana dalam norma baharu dan ia merupakan salah satu cabaran harus ditempuhi oleh rakyat Malaysia yang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Penularan ini memberi impak yang sangat membimbangkan dari aspek kesihatan, nyawa, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Penetapan Malaysia Prihatin sebagai tema Hari Kebangsaan ke-64 bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran serta dugaan sepanjang virus Covid-19 melanda negara.

Rakyat di seluruh negara berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam memerangi virus tersebut tidak kira penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.

Semuanya terlibat dalam mengambil bahagian memerangi pandemik Covid-19 ini. Pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga menerusi pelbagai inisiatif khususnya kesihatan dan ekonomi.

Kita semua mahukan kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian kita, termasuk juga kebebasan dari segi undang-undang, ekonomi, pendidikan dan amalan mengikut adat serta budaya masing-masing.

Kemerdekaan juga adalah suatu tuntutan. Sebagai contoh, pembukaan Makkah oleh Baginda Rasulullah SAW merupakan satu pencapaian kemerdekaan yang sangat bermakna dalam sejarah Islam. Ia adalah lambang kepada pembebasan manusia daripada belenggu kejahilan.

Semenjak dilanda pandemik, kehidupan kita telah berubah secara mendadak. Ini jelas membuktikan bahawa kita telah dijajah oleh virus berbahaya ini.

Bagi memerdekakakan diri dari virus ini, pelbagai langkah dan usaha telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan yang perlu dipatuhi seperti Perintah Kawalan Pergerakan. Bahkan, kita juga diseru untuk menjalani norma baharu kehidupan.

Dalam konteks agama Islam, kebebasan yang ingin dicapai mestilah berdasarkan apa yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis.

Maksud kemerdekaan sebenar adalah kebebasan umat manusia daripada dorongan hawa nafsu, kebebasan manusia daripada cintakan dunia yang melampau sehingga mengenepikan akhirat.

Selain daripada itu, kita juga mestilah berusaha untuk membebaskan jiwa dan minda kita daripada hasutan serta bisikan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan perkara dimurkai Allah SWT.

Justeru itu, marilah sama-sama kita memerdekakan diri kita dari belenggu"penjajahan” dengan kembali memahami, menghayati dan mengamalkan Islam sejati. Mudah-mudahan usaha kita dalam memerdekakan kehidupan kita ini mendapat keredhaan daripada Allah SWT serta menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa mensyukuri nikmat diberikan-Nya. In Shaa Allah.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.