Tangguh aktiviti jelajah hutan, ganti program bantuan

Iklan
Saiful Azli (dua dari kiri) bersama ahli kelab mengibar Jalur Gemilang di Kampung Teratak Pulai, Jelawat, Bachok pada Ahad.

BACHOK - Aktiviti jelajah hutan sempena hari kemerdekaan membabitkan seramai 200 ahli sukan lasak Kelab 4x4 GP5 yang sepatutnya berlangsung pada Ahad, ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

Iklan
Iklan

Aktiviti tersebut bagaimanapun digantikan dengan agihan bantuan kepada golongan terjejas berikutan angka penularan Covid-19 masih tinggi di Kelantan dan negara ini.

Timbalan Pengerusi Kelab 4x4 GP5, Saiful Azli Mat Zin berkata, dua tahun kelab berkenaan sunyi daripada sebarang aktiviti terutama peminat jelajah hutan kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

Beliau berkata, sambutan hari kemerdekaan ke-64 negara ditukarkan dengan agihan sumbangan kepada 100 penduduk terjejas di kawasan Jelawat, Bachok, di samping menghias 500 Jalur Gemilang pada kenderaan pacuan empat roda (4x4) bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

Saiful Azli (dua dari kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada ibu tunggal anak enam, Rohani Mohamad, 54. Foto Sinar Harian

Iklan

"Keseluruhan ahli mengambil bahagian menghias kenderaan masing-masing dengan bendera, manakala 10 terlibat dalam agihan bantuan yang dijalankan dengan mematuhi SOP norma baharu.

"Lima tahun penubuhan, tempoh dua tahun ini langsung tidak ada aktiviti kerana negeri dan negara yang belum pulih daripada Covid-19,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Teratak Pulai, Jelawat di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas program mengagihkan bantuan keperluan dapur bernilai RM100 kepada 100 penduduk di Jelawat, Bachok.

Sementara itu, Saiful Azli turut menggesa penggemar aktiviti sukan lasak supaya segara melengkapkan vaksin Covid-19 dalam usaha membantu negeri serta negara mencapai imuniti kelompok pada tempoh yang disasarkan.

"Pada hari ini, pengerusi kelab ini sendiri tidak dapat hadir kerana mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Ini perlu dicontohi semua ahli dan penggemar sukan lasak supaya aktiviti 'outdoor' dapat kembali berjalan semula selepas ini.

"Biasanya konvoi jelajah 4x4 banyak dilakukan di kawasan berbukit dan di pedalaman perkampungan orang asli di Gua Musang dan Kuala Krai sehingga perjalanan ke negara jiran, Thailand,” katanya.