[DIKEMAS KINI] Pengendali Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino menilai Lionel Messi sudah memberikan impak segera ketika melakukan debut ketika kemenangan 2-0 ke atas Reims dalam aksi Ligue 1 pada awal pagi Isnin.
Messi dimasukkan pada minit ke-66 menggantikan Neymar dan pantas mencipta sensasi dengan beberapa gerakan, melengkapkan 20 daripada 21 hantaran selain turut menghadirkan ancaman memaksa pemain lawan melakukan bentesan terhadapnya sebanyak tiga kali.
Menurut Pochettino, Messi berjaya menyesuaikan diri dengan pantas dalam suasana bola sepak Perancis dan yakin pemain berusia 34 tahun itu sudah sedia untuk membawa cabaran PSG.
"Dia (Messi) membawa ketenangan kepada pasukan. Penting untuk dia memulakan debut dengan baik. Dia gembira dan dia menyesuaikan diri dengan baik dalam pasukan.
"Malah, dia juga menerima sambutan baik daripada penyokong PSG dan penyokong lawan. Ia sesuatu yang sangat indah untuk dilihat dan didengar.
"Motivasi persaingan ada untuk semua orang tetapi kehadirannya membawa keyakinan. Semua orang merasakannya dan dia memiliki pengaruh pada pemain lain," katanya.
Dengan tumpuan terarah kepada Messi, penyerang PSG yang kini dikaitkan dengan Real Madrid, Kylian Mbappe turut mencuri perhatian apabila meledak kedua-dua gol dalam perlawanan itu.
Ia sekali gus menyaksikan gergasi Perancis itu merekodkan empat kemenangan berturut-turut untuk berada di kedudukan teratas liga.
"Ia rentak kemenangan yang amat baik dipamerkan oleh pemain. Kami juga tidak bolos yang menjadi sasaran utama kami pada perlawanan ini.
"Kami sudah mengumpul 12 mata dan saya sangat gembira sebelum kami berhenti dua minggu untuk tugasan antarabangsa," katanya.