KUALA LUMPUR - Zaman Dewan Negara bersifat pasif sudah berlalu dan kini tiba masanya untuk diaktifkan, dijelma dan dilaksanakan sebagai dewan tertinggi tanah air, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, transformasi Parlimen adalah menerusi lunas-lunas tertentu dan bukannya diputuskan oleh seseorang atau sesuatu institusi.
Iklan
Iklan
"Harap hormat Parlimen ini dan kita akan gunakan kuasa kolektif kita bagi memperbaiki keadaan menerusi undang-undang dan peraturan mesyuarat.
"Ingin saya cadangkan zaman Dewan Negara untuk menjadi pasif sudah berlalu, zaman untuk kita aktivasikan Dewan Negara sebagai dewan tertinggi tanah air, haruslah menjelma dan dilaksanakan,” katanya semasa majlis mengangkat sumpah jawatan tiga Ahli Dewan Negara di Dewan Negara di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan memiliki kuasa undang-undang agar sesuatu isu yang membelenggu rakyat dapat diselesaikan dengan tuntas oleh kerajaan yang baharu dibentuk Kabinetnya.
Katanya, menurut Peraturan Mesyuarat 18 dan Aturan 13(1)(f), rakyat boleh terus mempestiyen Dewan Negara melalui Ahli Dewan Negara yang dilantik. - Bernama