62.1 peratus penduduk Pulau Pinang sudah terima vaksin

Iklan
Ahmad Fuzi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang Ke-14 di Georgetown pada Isnin.

GEORGETOWN - Seramai 1.101 juta penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Daripada jumlah itu, lebih 711,454 orang telah melengkapkan dua dos vaksin iaitu bersamaan dengan 40.1 peratus populasi penduduk.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan atau 100 peratus populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal September depan.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata, bekalan vaksin yang mencukupi adalah amat penting untuk memastikan kejayaan program vaksinasi.

Iklan

"Sehingga 26 Ogos lalu, seramai 1.101 juta penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin iaitu bersamaan dengan 62.1 peratus populasi penduduk.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas pembekalan vaksin Covid-19 untuk rakyat Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14 pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Fuzi berkata, kerajaan negeri mengutamakan kebajikan rakyat melalui pemberian Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan Covid-19) yang telah dilaksanakan melalui tiga fasa bertujuan mengurangkan beban golongan paling terkesan serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Jelasnya, pakej bantuan itu diberikan sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama iaitu mulai Mac 2020.

"Pakej bantuan ini masih diberikan sehingga kini dan secara keseluruhannya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM176.45 juta di mana sehingga 17 Ogos lalu sebanyak RM149.61 juta telah disalurkan kepada penerima yang berkelayakan,"katanya.