Pelabur asing kekal pembeli bersih dengan aliran masuk RM964.2 juta

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

PELABUR asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia minggu lepas, dengan aliran masuk dana meningkat kepada RM964.2 juta berbanding RM6.6 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur memulakan minggu itu sebagai pembeli bersih selepas membeli sejumlah RM6.7 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin dengan sentimen risiko meningkat dalam kalangan pelabur, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah Brent.

Iklan
Iklan

"Kemungkinan Perdana Menteri baharu Malaysia yang telah mengangkat sumpah pada Sabtu minggu sebelumnya telah mewujudkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan negara,” katanya kepada Bernama.

Adam berkata, Selasa mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM153.6 juta bersih berikutan bursa tempatan dalam sentimen pemulihan disebabkan jualan besar-besaran sejak dua bulan lepas.

Iklan

"Pelantikan Perdana Menteri baharu telah menyumbang kepada perkembangan politik yang lebih stabil dalam pasaran tempatan, menarik pelabur asing untuk kembali.

"Pembelian bersih asing mencapai paras lebih tinggi sebanyak RM236.5 juta bersih pada Rabu berikutan pelabur mengambil petunjuk daripada berita mengenai vaksinasi Amerika Syarikat (AS) yang positif apabila Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS pada Isnin mengeluarkan kelulusan penuh untuk vaksin dua dos Pfizer/BioNTech,” katanya.

Iklan

Sementara itu, negara lain seperti China turut menunjukkan prospek yang menggalakkan dalam menangani Covid-19 berikutan tiada kes jangkitan di peringkat tempatan dicatatkan dalam data terkini.

"Pelabur asing terus mengumpul ekuiti tempatan pada Khamis, membeli sejumlah RM310.7 juta bersih pada hari tersebut. Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 1.0 peratus kepada 1585.7 mata pada Khamis mengatasi kebanyakan bursa Asia seperti Hong Kong, China, Korea Selatan dan Indonesia yang mencatatkan penurunan,” katanya.

Adam berkata, jangkaan pengumuman barisan menteri-menteri kabinet terus mendorong keyakinan dalam kalangan pelabur terhadap kepimpinan Malaysia.

"Pada masa sama, jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menggugurkan petunjuk mengenai mengurangkan pembelian aset semasa simposium Jackson Hole pada Jumaat merosot berikutan pandangan yang mungkin berubah disebabkan varian Delta. Dilihat tiada tanda-tanda perlahan berikutan pelabur antarabangsa menambah ekuiti tempatan kepada RM256.7 juta bersih,” katanya.

Setakat ini pada Ogos, pelabur antarabangsa telah menjual sejumlah RM533.7 juta bersih ekuiti tempatan.

Pada asas setakat ini tahun ini, jualan bersih asing di Bursa Malaysia berjumlah RM5 bilion bersih. - Bernama