KUALA LUMPUR - Anggota Jemaah Menteri yang akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mula hadir di Istana Negara sejak 1.15 petang tadi.
Antara yang dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara di sini ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun; Ahli Parlimen Rembau: Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai anggota kabinet baharu pentadbirannya pada Jumaat lalu.
Menurutnya, Jemaah Menteri yang disifatkan sebagai ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ itu adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.
Antara muka baharu terpilih ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan; Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Ismail Sabri sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 20 Ogos lalu.