KOTA KINABALU - [DKEMAS KINI] Kerajaan Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini pada awal pagi Isnin.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan berkata, isteri Allahyarham, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah serta keluarga diharap sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu berkenaan.
Beliau berkata, negara khususnya negeri Sabah kehilangan seorang negarawan yang sangat berjasa terutama dalam bidang politik, pentadbiran dan agama.
"Tun Sakaran adalah pemimpin politik yang berpengaruh di negeri ini, mari bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama hamba yang dikasihi ALLAH SWT.
"Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Sakaran sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara," katanya.
Sakaran, 91, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini pada pukul 5.30 pagi setelah lima hari dirawat di unit rawatan rapi hospital itu akibat jangkitan Covid-19 sejak dimasukkan pada 18 Ogos lepas.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Sakaran yang dianggapnya seperti bapanya sendiri.
Malah, katanya, Allahyarham merupakan antara pemimpin yang memperkenalkan dirinya ke dunia politik lebih 35 tahun dahulu.
Seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak orang ramai agar bersama mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.
Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman yang juga bekas Menteri Luar Negeri berkata, rakyat Sabah menerima khabar sedih dengan pemergian seorang tokoh agama, politik dan pejuang negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata negara, khususnya Sabah, kehilangan seorang pejuang sejati yang sentiasa berusaha menambah baik kehidupan rakyat - Bernama